Pages

Subscribe Twitter Facebook

Khamis, 26 Ogos 2010

Bomoh Rogol 3 Beradik.

Bomoh durjana dijel 69 tahun

Oleh Alias Abd Rani
Harian Metro.
2010/08/26
KUCHING: Seorang bomoh yang mendakwa mampu memulihkan dara gadis terpaksa menyambut Aidilfitri di sebalik tirai besi selepas Mahkamah Sesyen Kuching di sini, semalam menjatuhi hukuman penjara 69 tahun serta 12 sebatan selepas dia mengaku salah merogol tiga beradik pada Februari lalu.
Hakim Timothy Finlayson Joel menjatuhi hukuman ke atas Jamir@Jamang Samah, 63, selepas dia mengaku salah atas semua empat pertuduhan merogol tiga beradik berusia 13, 14 dan 16 tahun yang dikenakan terhadapnya.

Ketika penghakiman, Timothy turut menegur Jamir selepas dia dilihat ketawa selepas mahkamah mempamerkan seluar tidur milik mangsa yang dirampas untuk dijadikan bahan bukti bagi mensabitkannya dengan kesalahan itu.

Lelaki itu bagaimanapun mengangguk selepas jurubahasa membacakan hukuman. Hakim mengarahkan hukuman dijalankan berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan.

Mahkamah turut menjelaskan, hukuman itu setimpal dikenakan terhadap tertuduh selepas mengambil kira beberapa hujah dikemukakan pihak pendakwa selain melihat perbuatan dilakukan begitu serius.

Jamir tidak diwakili peguam bela, manakala pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Carl Patrick Ramesh.

Lelaki itu mengemukakan rayuan meringankan hukuman dengan memberi alasan dia sudah tua serta mempunyai keluarga untuk ditanggung.

Menurut kertas pertuduhan pertama, Jamir dituduh melakukan perbuatan itu pada Februari 2010 dalam bilik di sebuah rumah bernombor 71, Jalan Kulas Utara 2 dan kejadian berlaku antara 12 hingga 1 tengah hari.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki terbabit dituduh melakukan perbuatan itu pada 6 Mac 2010 antara 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Bagi pertuduhan keempat, dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 7 Mac 2010 dan kejadian lebih kurang jam 9.30 pagi. Semua kejadian berlaku di tempat sama dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada 7 Mac lalu mangsa berusia 16 tahun membuat laporan selepas mengadu dirogol bomoh itu dan kejadian berlaku sejak Februari tahun sama.

Jamir yang dipanggil ‘datuk’ dan ketika kejadian mangsa memasuki biliknya bersama ibu saudaranya bagi mendapatkan rawatan sebelum menjalankan pemeriksaan mendapati mangsa terkena ilmu hitam dan tertuduh mendakwa dia mampu mengubatinya.

Bermula dari situlah mangsa diarahkan menanggalkan pakaian satu persatu sebelum lelaki itu mengambil kesempatan merogol kononnya cara itu mampu mengubati ilmu hitam pada tubuh mangsa.

Fakta itu turut mendedahkan, Jamir memaklumkan kepada mangsa, dia perlu menjalani enam lagi rawatan susulan bagi membolehkan penyakitnya diubati.

Beberapa hari kemudian, mangsa ke rumah seperti diarahkan sebelum lelaki itu melakukan perbuatan sama. Sebaik sesi rawatan berakhir, mangsa diberi air jampi.

Pada hari sama, kakaknya diarahkan membawa adiknya berusia 13 tahun kerana memberitahu dia mampu menjadikan suara gadis berkenaan lebih nyaring dan merdu.

Tindakan sama dilakukan apabila Jamir mengarahkannya menanggalkan pakaian satu persatu sebelum merogolnya. Sehari selepas kejadian itu, mangsa membawa adiknya berusia 14 tahun selepas memperdaya kononnya adik mangsa sudah kehilangan dara.

Lelaki itu mencadangkan adik mangsa ke rumah menjalani rawatan memulih dara sebelum merogolnya.
Untuk berita lanjut klik je kat sini.


Tidak salah kalau kita hendak berubat melalui cara tradisional.Tapi pastikan kita ditemani oleh ahli keluarga.Pesanan penting jangan terlalu percayakan bomoh,sebab sekarang ni bnyak bomoh penipu macam dalam cerita P.Ramle tu..Hahaha...

0 ulasan: