Rabu, 18 Ogos 2010

Ketua Pemuda MIC Hulu Langat Ditembak

HULU LANGAT 18 Ogos - Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Langat terpaksa menahan kesakitan sambil berlari sejauh 200 meter ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas ditembak dua das ketika minum di sebuah restoran di sini petang ini.
Dalam kejadian pukul 6.45 petang, A. Kalai Arasu, lingkungan 30-an, bertindak demikian bagi menyelamatkan dirinya selepas ditembak seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang minum bersama rakannya di sebuah restoran yang terletak berhadapan IPD Kajang.
"Mangsa tiba-tiba dihampiri seorang lelaki memakai jaket hitam dan topi keledar yang bertindak melepaskan dua das tembakan ke arahnya.
"Selepas terkena tembakan di perut dan paha, mangsa yang dalam keadaan parah berlari melalui pintu belakang restoran untuk ke IPD bagi menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Beliau menambah, mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Kajang dan dia kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Shakaruddin memberitahu, suspek melarikan diri bersama rakannya yang sedang menunggu di hadapan restoran tersebut menaiki sebuah motosikal.
Katanya, polis kini giat mengesan suspek berdasarkan butiran awal yang sempat diberikan oleh mangsa.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.


Huiyoo...bahye wo,ganaz giler..Erm ape la nak jadi ni?

0 ulasan: